Sunday, 3 February 2013

Panduan Permohonan Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M)



 Kredit Gambar Utusan Online


Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) merupakan inisiatif yang dijana 
oleh Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda UMNO Malaysia.
 Ia sebenarnya telah dimulakan pada tahun lalu dan hasil dari 
kejayaan program perintis di Pahang itu telah mencetuskan idea 
untuk dipanjangkan ke seluruh negara.

Pelancaran BL1M secara rasmi telah dibuat oleh YAB Perdana 
Menteri di Kedah, Khamis lalu. Beliau menjangkakan 500,000 
orang akan mendapat manfaat darinya.

Menariknya BL1M ini, ia merupakan inisiatif yang datang 
dari parti politik secara langsung, bukan bermula dari pihak
 kerajaan seperti inisiatif-inisiatif 1Malaysia yang lain. 
Sebab itu tidak perlu pelik mengapa borang pra-pendaftaran
 BL1M perlu di hantar ke pejabat UMNO atau parti-parti
 komponen Barisan Nasional yang lain.

Sebelum memohon BL1M ini, perlu difahami bahawa ia 
adalah langkah dari pihak SHEB bagi mengurangkan 
kadar bayaran yang perlu dijelaskan peserta kepada
 Institut Memandu iaitu dari RM350.00 hingga RM380.00
 kepada hanya RM199.00 sahaja.

Maknanya, setelah memohon secara online dan membayar 
RM199.00 peserta masih perlu mengikuti ujian-ujian yang 
dijalankan oleh JPJ. Bukan selepas daftar dan bayar terus 
dapat lesen. Tidak, bukan begitu.

Untuk memohon BL1M, syarat-syarat berikut perlu dipenuhi terlebih dahulu:

1. Warganegara Malaysia berumur antara 17 - 40 tahun pada atau selepas 
1 Januari 2013.
2. Belum memiliki sebarang lesen memandu sama ada motorsikal,
kereta, lori atau bas.
3. Permohonan untuk lesen motorsikal B2 sahaja.
4. Sihat tubuh badan.
5. Bayar RM199.00 (Money Order atas nama "MY E.G. SERVICES BERHAD")
 semasa program pendaftaran dijalankan.
Berikut merupakan 9 langkah yang saya ringkaskan agar lebih jelas difahami 
oleh pemohon.

LANGKAH 1:
Setelah syarat 1 hingga 4 dipenuhi, pemohon boleh mengisi borang 
pra-pendaftaran secara atas talian di URL berikut:
atau


Jika dilihat kepada kedua-dua borang ini, wujud perbezaan pada borang
 permohonan terutamanya dari aspek pemilihan kawasan ujian.

Bagi laman BL1M, pemohon perlu terlebih dahulu memilih Negeri dan Parlimen 
tempat tinggal semasa bagi memudahkan proses penetapan Institut 
Memandu yang berdekatan dengan mereka.



Berbanding dengan laman My EG, pemohon perlu memilih Negeri dan 
Daerah lokasi untuk menduduki ujian BL1M.

 

Walaupun dua borang ini berbeza formatnya namun ia tidak 
akan memberikan kesan memandangkan penyelarasannya 
akan dibuat oleh pihak My EG. Pemohon boleh menggunakan mana-mana
 borang yang mereka rasakan selesa.
Jangan lupa mencetak borang yang telah selesai diisi. 

Bagaimana dengan pemohon yang jauh di kawasan luar bandar yang 
tidak mempunyai talian internet? Mereka boleh mendapatkan borang 
dari pejabat parti-parti komponen Barisan Nasional di seluruh negara
 untuk diisi secara manual.

Perkara penting yang harus diingat ialah pendaftaran ini dibuka 
hanya dalam tempoh dua minggu dari tarikh perasmian. Justeru, 
pastikan mereka yang layak dan berminat tidak melengah-lengahkan 
pendaftaran ini.

LANGKAH 2:
Setelah mengisi borang secara online, pergi ke Pejabat Pos berhampiran 
dan buat Money Order atas nama "MY E.G. SERVICES BERHAD" berjumlah
 RM199.00.

Bawa Money Order berkenaan dan cetakan borang pra-pendaftaran
 bagi yang mendaftar secara online ke pusat pendaftaran yang
 dinyatakan di dalamnya.

Jika mengisi secara manual, kembalikan ke pejabat parti komponen 
Barisan Nasional tempat borang berkenaan diambil. 

LANGKAH 3:
Semak status pendaftaran anda untuk mendapatkan lokasi Institut
 Memandu yang ditetapkan. Semakan boleh dibuatkan melalui URL berikut:


atau

PublicSearchForm.zhtml 
LANGKAH 4:
Calon mendaftarkan diri ke Institut Memandu yang ditetapkan dan menghadiri
 Kelas Penilaian Pemandu. 

LANGKAH 5:
Duduki Ujian Teori Berkomputer.

Markah lulus untuk ujian ini adalah 42/50 dalam tempoh 45 minit. Jika 
gagal, calon dibenarkan untuk mengulangi ujian ini sebanyak dua kali
 secara percuma. Jika gagal lagi, calon dikehendaki mengikuti ujian lisan JPJ. 

LANGKAH 6:
Calon menduduki kursus Pra-L untuk mendapatkan lesen L di Institut Memandu. 

LANGKAH 7:
Calon mengikuti kelas memandu praktikal selama 8 jam di litar Institut Memandu.

LANGKAH 8:
Calon menduduki ujian JPJ. Sekiranya lulus, calon akan memperoleh lesen P.

LANGKAH 9:
Calon akan menerima lesen P dalam majlis yang akan dimaklumkan kelak.


Itulah sembilan langkah sebagai panduan untuk permohonan BL1M ini.
 Moga ia membantu dalam permohonan rakan sekalian.

Pengakhirannya, elok diingatkan semua agar jangan tertipu. AWAS! 
Tiada urusan tunai yang terlibat dalam proses BL1M ini. Juga tiada 
bayaran tambahan yang perlu dibuat kepada mana-mana pihak kerana
 tiada agen yang dilantik untuk menguruskan urusan BL1M ini sama 
ada oleh pihak SHEB atau MY EG.

Juga sekali lagi diingatkan, tempoh pendaftaran hanya dibuka dua 
minggu. Jangan berlengah untuk memohon. 

No comments:

Post a Comment